KUALA LUMPUR: Pelawak, Jep Sepahtu, 41, mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap dirinya yang dilemparkan oleh pelawak yang juga usahawan, Shuib.
Memetik laporan Berita Harian, Menerusi hantarannya di Threads, Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, 41, yang turut memohon maaf kepada Shuib berkata, tindakan itu diambil selepas mendapat nasihat daripada peguamnya.
Menurut Jep, tindakan berkenaan sudah dilakukan sebelum Shuib memuat naik video permohonan maaf kepadanya di media sosial, hari ini.
“Aku pun nak minta maaf sebab ketika kau keluarkan video ini, aku telah pun mengambil tindakan undang-undang atas nasihat peguam.
“Kerana ini benar-benar fitnah jahat terhadap diri aku. Ini bukan pasal sindir, ini pasal fitnah,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen.
Dalam hantaran sama, Jep turut memuat naik video penjelasan Shuib yang memohon maaf kepadanya.
Terdahulu, selepas hampir seminggu berdiam diri, Shuib tampil memohon maaf kepada Jep mengenai kekhilafan dirinya bersama Mamat yang menyindir Jep dalam sebuah audio siar.
Dalam hantaran video berkenaan, Shuib mengakui isu itu bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, malah turut membabitkan keluarga serta perniagaannya.
Pada 8 Oktober lalu, Jep memuat naik sebuah hantaran di Instagram dengan menyuarakan rasa kurang senang terhadap tindakan Shuib yang didakwa masih membangkitkan isu persahabatan mereka menerusi sebuah audio siar.
Bagaimanapun, Jep mengakui sudah memohon maaf atas perkara yang berlaku sebelum ini, sambil meluahkan rasa jemu apabila isu berkenaan terus diperkatakan secara terbuka.
Isu terbabit mencuri perhatian orang ramai, yang rata-ratanya mengecam tindakan Shuib bersama Mamat. – BH Online –






