Home Buletin Semasa PENGERUSI PERDA NAFI TERIMA RASUAH LEBIH RM847,000

PENGERUSI PERDA NAFI TERIMA RASUAH LEBIH RM847,000

PENANG: Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Dr Shaik Hussein Mydin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen George Town, di sini, hari ini atas 15 pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM847,000 sebagai balasan melantik sebuah syarikat sebagai subkontraktor bagi projek PERDA-TECH bernilai hampir RM23.3 juta.

Bagaimanapun, Shaik Hussein, 53, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut kesemua pertuduhan, beliau didakwa menerima suapan wang berjumlah RM847,107.61 melalui syarikat Aliran Ilham Sdn Bhd (AISB) daripada pengarah syarikat ATSH Management Sdn Bhd (ATSH), Datuk R Albert Suresh.

Suapan itu didakwa diterima sebagai upah melantik syarikat ATSH sebagai subkontraktor kepada AISB bagi projek Cadangan Menyiapkan Kerja-Kerja Terbengkalai Untuk 1 Blok Asrama 10 Tingkat dan Kemudahan-Kemudahan di Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) Menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) di atas sebahagian Lot 1210 Mukim 8 Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan yang bernilai RM23,268,215.35.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Islam Bandar Perda, Jalan Perda Selatan, Seberang Perai Tengah antara 26 Jun 2025 hingga 9 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar dan Lim Jin Hong.

Shaik Hussein diwakili barisan peguam bela terdiri daripada Datuk Amer Hamzah Arshad, Datuk Hasnal Rezua Merican, Dr Shamsher Singh Thind, Simon Ton Heng Jin, Mohd Shahrullah Khan, Muzzammil Merican dan Intan Nur Alia.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM setiap dua bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here