Home Sukan JOJO-PAEZ BERTEMBUNG SEMULA ESOK

JOJO-PAEZ BERTEMBUNG SEMULA ESOK

KUALA LUMPUR: Kekalahan bukan alasan untuk mengundur langkah, sebaliknya petarung Muay Thai negara, Johan Ghazali atau Jojo bertekad meneruskan kemaraannya dalam ONE Championship tanpa rasa gentar menjelang pertemuan semula menentang Diego Paez di The Inner Circle 35, esok.

Memetik laporan Berita Harian, Petarung berusia 19 tahun itu melihat aksi ulangan menentang Paez sebagai peluang untuk membuktikan peningkatan dirinya selepas lebih setahun sejak pertemuan pertama mereka pada Jun tahun lalu.

Jojo berkata, beliau sudah memperbaiki beberapa aspek penting termasuk kepantasan, ketepatan masa serangan dan teknik, hasil latihan intensif serta pengalaman daripada beberapa pertarungan sejak pertemuan terdahulu.

“Saya sudah meningkat dengan banyak sejak pertarungan terakhir menentangnya dan saya akan membuktikannya pada Jumaat ini. Saya masih seorang petarung yang gemar memberi tekanan, malah kini saya lebih menikmatinya.

“Kali ini, lebih sukar untuk dia mengambil kesempatan terhadap gaya pertarungan saya,” katanya.

Dalam tempoh lebih setahun itu, Jojo sudah mengharungi empat pertarungan dengan rekod dua kemenangan dan dua kekalahan, selain menjalani latihan di Superbon Training Camp, Bangkok, bersama beberapa petarung ternama.

Mengulas kekalahan terakhirnya kepada Ramadan Ondash, Jojo berkata, beliau tidak mahu terlalu memikirkan keputusan lalu kerana lebih mengutamakan proses peningkatan diri dalam setiap kem latihan dan pertarungan.

“Saya tidak terlalu memikirkannya. Saya percaya kepada proses. Saya hanya menikmati pertarungan dan jika saya terus meningkat selepas setiap perlawanan, lambat-laun saya tahu masa saya akan tiba,” katanya.

Jojo turut menegaskan keputusan menang atau kalah tidak akan mengubah keperibadiannya, sebaliknya beliau berpuas hati selagi sudah memberikan usaha maksimum untuk mencapai matlamatnya.

“Saya akan meneruskan pendakian tanpa sebarang rasa gentar. Saya sentiasa menerima peluang untuk bertarung dengan sesiapa sahaja dan jika menang, saya akan terus mara tanpa takut kepada sesiapa,” katanya.

Bagi pertarungan ulangan itu, Jojo tidak menolak kemungkinan menamatkan aksi menerusi kemenangan kalah mati (knockout), namun bersedia bertarung sehingga tamat jika peluang itu tidak hadir.

“Kemenangan ‘knockout’ sentiasa dalam fikiran saya. Jika peluang itu muncul, saya akan mengambilnya. Jika tidak, saya akan cuba mengawal pertarungan dan menang menerusi keputusan sebulat suara,” katanya.

Jojo percaya kemenangan ke atas Paez mampu melonjakkan kedudukannya dalam divisyen berkenaan dan membuka laluan untuk kembali memburu kedudukan lebih tinggi dalam ONE Championship. – BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here