Home Buletin Semasa MALAYSIA TAMBAH ASET PENGANGKUT TUNA, KUKUH INDUSTRI PERIKANAN NEGARA

MALAYSIA TAMBAH ASET PENGANGKUT TUNA, KUKUH INDUSTRI PERIKANAN NEGARA

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Malaysia memperkukuh keupayaan industri tuna negara dengan penambahan aset pengangkut tuna baharu menerusi pelancaran vesel pengangkut (carrier vessel) Kha Yang 666 milik Kha Yang Marine Sdn Bhd di Pelabuhan Dermaga Air Dalam, Pulau Pinang, hari ini.

Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan, Jabatan Perikanan Malaysia, Ruzaidi Mamat berkata, penambahan vesel berkenaan dijangka meningkatkan keupayaan operasi pindah kapal hasil tangkapan tuna di Lautan Hindi.

Katanya, vesel Kha Yang 666 yang berukuran 84.36 meter (m) itu mampu membawa sehingga 1,700 tan kapasiti muatan tuna bagi aktiviti pindah kapal di kawasan kompetensi Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC).

“Pertambahan vesel pengangkut tuna ini akan memperkukuh industri tuna negara di peringkat antarabangsa, selain meningkatkan keyakinan pasaran terhadap hasil perikanan tuna Malaysia.

“Ia juga akan membantu meningkatkan daya saing industri perikanan negara tanpa menjejaskan status sumber serta ekosistem marin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Vesel Pengangkut Tuna Zon C3 Kha Yang 666.

Menurutnya, pada 2025, sebanyak 97,240 tan metrik tuna dan spesies seumpamanya berjaya didaratkan di Malaysia dengan anggaran nilai RM980 juta.

“Melalui Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030, sasaran utama hasil pendaratan tuna adalah sebanyak 150,000 tan metrik menjelang 2030, manakala sebanyak 70 vesel penangkapan ikan tuna Zon C3 disasarkan beroperasi di Lautan Hindi,” katanya.

Katanya, Kha Yang Marine Sdn Bhd yang mula terbabit dalam industri tuna sejak 2010 kini memiliki 14 vesel penangkapan ikan tuna Zon C3 dan dua vesel pengangkut tuna Zon C3 yang beroperasi di Lautan Hindi.

Beliau berkata, Kha Yang 666 adalah vesel pengangkut tuna kedua yang didaftarkan di bawah bendera Malaysia, sekali gus mencerminkan perkembangan positif industri tuna tempatan.

Dalam perkembangan lain, Ruzaidi menasihatkan semua nelayan supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti penangkapan ikan, khususnya dari aspek pelayaran berikutan jarak penglihatan yang boleh terjejas susulan jerebu.

Beliau berkata, keadaan jarak penglihatan yang kurang jelas berpotensi memberi kesan kepada keselamatan nelayan ketika berada di laut, justeru mereka disaran sentiasa berwaspada sepanjang menjalankan aktiviti harian.

“Buat masa ini, aktiviti penangkapan ikan berjalan seperti biasa dan kita belum menerima sebarang laporan yang menunjukkan jerebu memberi kesan kepada aktiviti perikanan.

“Apa yang penting, nelayan perlu lebih berhati-hati ketika belayar kerana keadaan jerebu boleh mengurangkan jarak penglihatan sekali gus meningkatkan risiko terhadap keselamatan mereka,” katanya

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here