KATHMANDU: Agensi Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) hari ini berkata runtuhan glasier mencetuskan aktiviti seismik dan impak bencana di hilir Nepal dan Tibet.
“Aktiviti seismik yang pada mulanya dilaporkan sebagai gempa bumi sebaliknya adalah keruntuhan glasier dan aliran sisa benteng yang menyebabkan impak bencana berikutnya di hilir,” kata agensi itu.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, sekurang-kurangnya 160 orang terbunuh akibat limpahan air dan sisa banjir yang membadai kedua-dua belah sempadan Nepal-Tibet, dengan ratusan dilaporkan hilang di kedua-dua kawasan tersebut.
Punca bencana itu tidak dapat dipastikan dalam tempoh beberapa jam selepas kejadian pada awal Rabu namun, Menteri Luar Nepal, Shishir Khanal berkata, gempa bumi berkemungkinan mencetuskan tanah runtuh yang kemudiannya menyekat aliran sungai hingga arus deras mengalir ke hilir.
Teori lain termasuk banjir tasik glasier susulan benteng semula jadi daripada timbunan batu dan serpihan yang menahan glasier cair runtuh. Ia dikatakan menyebabkan air mengalir deras ke kawasan hilir.
Satu lagi kemungkinan ialah runtuhan ais dalam jumlah besar dari kawasan glasier.
USGS berkata peristiwa seismik magnitud 5.2 berlaku berhampiran sempadan antara Nepal dan China semalam, pada 8.37 pagi waktu tempatan.
“Peristiwa ini pada mulanya dilaporkan sebagai gempa bumi magnitud 4.4. Bagaimanapun analisis tambahan terhadap stesen seismik berdekatan, gelombang seismik jangka panjang dan imejan satelit membawa kepada penentuan bahawa peristiwa seismik itu sebaliknya adalah runtuhan glasier dan sisa benteng, tiada gempa bumi yang berlaku,” kata USGS. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






