Home Sukan MARESCA MAHU BAWA GUIU KE MANCHESTER CITY

MARESCA MAHU BAWA GUIU KE MANCHESTER CITY

MANCHESTER: Pengendali Manchester City, Enzo Maresca dilaporkan mahu mendapatkan bintang Chelsea yang semakin dilupakan, Marc Guiu, yang pernah bekerja dengannya ketika di Stamford Bridge.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, era Maresca sebagai pengendali City bermula dengan kemenangan ke atas Bournemouth kendalian Marco Rose pada Ahad, apabila gol lewat Marc Guehi dan Josko Gvardiol memadam jaringan Marcus Tavernier pada babak pertama untuk membantu tuan rumah menang 2-1.

City masih belum berada pada tahap terbaik apabila Maresca menurunkan enam pemain pertahanan dalam kesebelasan utama selepas kehilangan pemain tengah, Rodri, manakala pemain yang menjadi sasaran Tottenham, Omar Marmoush dan Savinho tidak beraksi walaupun nama Marmoush berada dalam senarai pemain simpanan.

Rekod pembelian City, Elliot Anderson bergandingan dengan Nico O’Reilly di bahagian tengah dan dijangka disertai pemain antarabangsa Maghribi, Ayyoub Bouaddi dalam beberapa hari akan datang selepas City mencapai persetujuan bernilai £86 juta (RM474.46 juta) dengan Lille.

Pemain tengah, Tijjani Reijnders turut meninggalkan City musim panas ini selepas menyertai kelab Arab Saudi, Al-Qadsiah dengan nilai perpindahan £52 juta (RM286.52 juta), manakala Maresca mahu menggantikannya dengan mendapatkan Enzo Fernandez dari Chelsea sebelum tarikh tutup perpindahan pada 1 September. 

Bagaimanapun, pengendali dari Itali itu turut mahu memperkuatkan jentera serangan City musim panas ini. TEAMtalk melaporkan bekas pengendali Chelsea itu mahu membawa penyerang Sepanyol, Marc Guiu ke Etihad musim ini.

Wartawan Graeme Bailey berkata: “Guiu adalah antara beberapa pemain Chelsea yang sedang dipantau City menjelang minggu terakhir jendela perpindahan. Sumber sudah mengesahkan minat mereka terhadap Enzo Fernandez dan Malo Gusto, dengan ketiga-tiga pemain itu kini antara yang sedang dinilai juara Liga Perdana Inggeris.

“Guiu menunjukkan prestasi baik di bawah kendalian Maresca di Chelsea dan kami difahamkan hubungan itu menjadi antara sebab City meneroka peluang untuk mendapatkan pemain berkenaan.

“Terdapat juga kepercayaan dalam kelab bahawa pemain berusia 20 tahun itu mampu berkembang menjadi pemain sokongan yang berjaya kepada Erling Haaland, sekali gus memberikan City satu lagi pilihan muda yang mampu menyediakan kedalaman di posisi penyerang tengah.

“Namun, Guiu mempunyai beberapa pilihan lain. Kami boleh mendedahkan bahawa Napoli turut menghubunginya, manakala RB Leipzig juga menilai kemungkinan untuk mendapatkannya ketika mereka meneliti pilihan serangan sendiri.”

Guiu yang membesar melalui akademi La Masia milik Barcelona, menyertai Chelsea ketika Maresca menjadi pengendali, namun bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama The Blues.

Dia hanya membuat 29 penampilan bersama Chelsea sepanjang lebih dua musim, dengan tujuh daripadanya dalam saingan Liga Konferens.

Pemain berusia 20 tahun itu masih belum menjaringkan satu gol pun dalam Liga Perdana Inggeris bersama kelab Stamford Bridge itu dan kini kelihatan jauh di belakang dalam hierarki pilihan di bawah kendalian Xabi Alonso.

Guiu dipinjamkan kepada Sunderland pada awal musim 2025/26, namun dipanggil pulang selepas hanya membuat tiga penampilan bersama The Black Cats berikutan krisis kecederaan yang melanda Chelsea di bahagian serangan.

Penyerang itu masih terikat dengan kontrak bersama Chelsea sehingga 2029. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here