Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
ROMPIN: Jabatan Perikanan Negeri Pahang melabuhkan 20 unit tukun tiruan jenis ‘Kuboid Juvenil’ sebagai penghalang Pukat Tunda di perairan Taman Laut Pulau Seri Buat, di sini Khamis lalu.
Projek bernilai RM670,00 di bawah peruntukan kerajaan persekutuan itu adalah sebagai usaha meningkatkan stok perikanan selain bagi memulihkan kawasan habitat marin seterusnya menghalang pencerobohan vesel nelayan pukat tunda ke kawasan diwartakan taman laut.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Roslan Abu Hasan berkata, kajian yang dilakukan sebelum ini mendapati hanya selepas 24 jam tukun dilabuhkan pelbagai spesies ikan datang ke kawasan terbabit.

“Penggunaan tukun tiruan jenis konkrit ‘Kuboid Juvenil’ juga sebagai penghalang aktiviti pukat tunda di kawasan taman laut yang terkenal dengan hidupan dasar laut seperti batu karang yang menjadi tarikan utama pelancong untuk menyelam,”katanya.
Katanya, kawasan tukun tiruan turut menjadi sarang tempat membiak pelbagai spesies ikan bermutu tinggi seterusnya dapat meningkatkan stok perikanan di perairan berkenaan.
“Pukat tunda yang tersangkut pada tukun akan pecah dan tali penarik turut putus, saya yakin selepas ini aktiviti pukat tunda oleh nelayan yang tidak mematuhi peraturan di perairan daerah ini tidak berlaku lagi. Sebarang aktiviti menangkap ikan dalam kawasan taman laut tidak dibenarkan.
“Tukun tiruan berbentuk empat segi (Kuboid) dengan ukuran ditetapkan berfungsi sebagai tempat pembiakan pelbagai jenis ikan seperti kerapu, kerisi, merah, selar kuning, kembung serta udang dan sotong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas operasi melabuhkan 20 unit tukun tiruan konkrit jenis ‘Kuboid Juvenil’ berharga RM670,000 di perairan Taman Laut Pulau Seri Buat, di sini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain, Ketua Eksekutif Perbadanan Taman Negeri Pahang, Zainal Abidin Othman dan Pegawai Perikanan Jabatan Perikanan Pahang Cawangan Taman Laut dan Sumber, Mohamad Anuar Roslan.
Roslan menambah, untuk rekod jabatan telah melabuhkan sebanyak 271 unit tukun tiruan konkrit jenis ‘Kuboid Juvenil’ dalam tempoh 19 tahun sejak 2007 di perairan Kuantan, Pekan dan Rompin.
Menurutnya, tukun tiruan yang ditempatkan di tiga perairan Chempaka, Cherok Paloh dan Pantai Sepat, di sini diharap menambah pendapatan nelayan tempatan yang terbabit aktiviti memancing dengan sasaran tahun depan golongan terbabit sudah mula boleh memancing.
“Projek tukun tiruan diusahakan turut menjadi sumber pendapatan tambahan kepada nelayan yang terbabit aktiviti membawa pemancing berminat memancing di kawasan tukun kerana banyak ikan.
“Pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk membantu nelayan pantai di negeri ini antaranya menempatkan tukun tiruan konkrit jenis ‘Kuboid Juvenil’ di kawasan perairan mempunyai ramai nelayan tradisional,” katanya.
IMedikel TV






