Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Lima pemilik dan seorang pengurus syarikat, termasuk dua beranak, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas keseluruhan 13 pertuduhan membuat tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dua tahun lalu.
Kesemua tertuduh iaitu Saipuddin Mohamad, 47; Eadzelin Azmi, 41; Mohamad Faiz Harith Hazman, 30; Nur Shahalwani Ab Hamid, 37; serta dua beranak, Nik Muhammad Afiq Rifqi Nik Araman, 29, dan Nik Araman Yusoff, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan, Saipuddin berdepan enam pertuduhan, Nur Shahalwani empat pertuduhan, manakala selebihnya termasuk xua beranak masing-masing berdepan satu pertuduhan.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh sebagai pemilik syarikat masing-masing memberi dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing kepada ejen PERKESO yang mempunyai penyataan palsy dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya.
Perbuatan itu dilakukan di sekitar Kota Bharu antara 18 Mei hingga 9 Oktober 2024.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dab denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar dan Asmah Che Wan.
Kesemua tertuduh diwakili peguam, kecuali Nur Shahalwani.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan supaya mereka tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.
Mahkamah kemudian menawarkan setiap tertuduh diikat jamin antara RM8,000 hingga RM14,000 serta menetapkan 13 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
IMedikel TV






