Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran cecair vape mengandungi dadah selepas menahan tujuh individu termasuk dalang utama atau ‘mastermind’ dalam lima serbuan berasingan di sekitar Kulai, Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Muar, Ahad lalu.
Operasi itu turut membawa kepada penemuan sebuah stor yang dijadikan pusat pembungkusan serta pengisian cecair vape disyaki mengandungi methamphetamine, selain rampasan pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM10.80 juta.
Timbalan Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat berkata, operasi bermula kira-kira jam 11 pagi itu menyaksikan penahanan lima lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 36 hingga 46 tahun.

Menurutnya, serbuan pertama di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kulai membawa kepada penahanan pasangan suami isteri terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah Honda BR-V menemukan 9,000 kartrij vape mengandungi cecair disyaki methamphetamine seberat 82.40 kilogram dengan anggaran nilai RM4.12 juta.
“Serbuan kedua di Bandar Medini, Iskandar Puteri pula membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing.
“Premis berkenaan dipercayai dijadikan lokasi pembungkusan dan pengisian cecair vape mengandungi dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan di premis itu menemui 47 botol plastik berisi perisa vape, sebotol kaca mengandungi 127.55 liter cecair disyaki methamphetamine bernilai RM6.38 juta, dua paket plastik disyaki kokain seberat 0.41 kilogram bernilai RM184,275 serta satu paket plastik disyaki ketamin seberat 40 gram bernilai RM2,000.
Katanya, polis turut merampas sebuah mesin pengisian cecair vape ke dalam kartrij bersama pelbagai peralatan yang digunakan bagi mencampurkan perisa vape dengan cecair disyaki methamphetamine.
Katanya dalam serbuan ketiga di Taman Sutera Utama, Johor Bahru, seorang lelaki tempatan ditahan bersama rampasan dua paket heroin seberat 11.45 gram, 20 pil Erimin 5 dan 53 pil ekstasi.
Menurut beliau serbuan keempat dan kelima di Mutiara Rini serta kawasan parkir sebuah stesen minyak di Tanjung Agas, Muar pula membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki tempatan.
Beliau berkata, keseluruhan dadah yang dirampas dipercayai mampu dibekalkan kepada kira-kira 649,096 penagih sekiranya berjaya dipasarkan.
“Siasatan mendapati sindiket ini aktif sejak Februari lalu dengan menjadikan sebuah kondominium sebagai lokasi pembungkusan dan pengisian cecair vape mengandungi methamphetamine sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Setiap suspek dipercayai memainkan peranan tertentu termasuk sebagai penghantar, penjaga stor, pembantu, penerima barangan dan ketua sindiket,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif methamphetamine, manakala semakan rekod mendapati empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Ogos bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita tiga kenderaan iaitu sebuah Ford Ranger, Mercedes-Benz dan Perodua Aruz yang dianggarkan bernilai RM120,000.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan RM10.80 juta.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
IMedikel TV






