Home Buletin Semasa PERTANDINGAN DURIAN KAMPUNG PREMIUM, PILIH BUAH TERBAIK

PERTANDINGAN DURIAN KAMPUNG PREMIUM, PILIH BUAH TERBAIK

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Jabatan Pertanian Negeri Pahang (JPNP) akan menganjurkan Pertandingan Durian Kampung Premium di 10 Pejabat Pertanian Daerah di seluruh negeri bermula 7 hingga 16 Julai ini bagi mencari buah durian kampung terbaik.

Program itu akan bermula di Pejabat Pertanian Daerah Lipis pada Isnin ini sebelum berakhir di Pejabat Pertanian Daerah Rompin, manakala kemuncaknya akan berlangsung sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) Pahang 2026 di Raub pada 23 hingga 26 Julai.

Pengarahnya, Muhd Rizal Baharom berkata, pertandingan berkenaan dianjurkan hampir setiap tahun ketika musim durian membabitkan 10 daerah di Pahang, kecuali Cameron Highlands.

“Edisi kali ini dijangka lebih meriah dengan peningkatan penyertaan susulan pengeluaran durian yang kini berada di kemuncak di kebanyakan kawasan di negeri itu.

“Daerah seperti Jerantut, Raub dan Bentong mencatatkan pengeluaran durian yang tinggi sehingga menyebabkan harga buah berkenaan menurun berbanding musim lalu.

“Keadaan itu memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan durian klon dan durian kampung pada harga yang lebih rendah,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata selain pertandingan durian kampung premium, pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk pertandingan makan durian, jualan buah, baja dan anak pokok durian serta forum tanaman durian yang menampilkan pakar dalam bidang berkenaan.

Muhd Rizal berkata, syarat penyertaan antaranya buah mestilah segar, hasil daripada kebun sendiri, mempunyai isi yang menarik, berat melebihi satu kilogram serta peserta perlu menghantar tiga biji buah daripada pokok yang sama.

“Penyertaan adalah percuma dan pelbagai hadiah menarik disediakan sebagai penghargaan kepada pekebun yang menghasilkan durian berkualiti.

“Pegawai Pejabat Pertanian Daerah juga akan membuat penilaian di kebun bagi memastikan buah yang dipertandingkan benar-benar berasal daripada pokok yang menghasilkan durian berkualiti tinggi,”katanya.

Beliau berkata, pertandingan itu bukan sahaja bertujuan mengiktiraf durian kampung premium, malah menjadi platform memelihara pokok durian berkualiti tinggi serta menggalakkan penambahan penanaman bagi meningkatkan pendapatan pekebun pada setiap musim durian.

Tambahnya, JPNP akan terus membantu pekebun meningkatkan hasil pengeluaran dan memperkukuh industri durian negeri bagi menjana pendapatan yang lebih baik.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here