Kuala Lumpur: Kumpulan rock indie, Hujan meraih pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi kategori ‘Largest Audience for a Single Indie Band Live Concert’ sempena penganjuran Konsert Hujan XX: Hujan 20 Tahun di Stadium Hoki Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Memetik laporan Harian Metro, Hujan yang dianggotai Noh Salleh, AG Coco, Am dan Izzat berjaya menghimpunkan seramai 17,000 Raingers membanjiri stadium terbabit sekali gus membuktikan pengaruh besar mereka dalam industri muzik tanah air.
Pengiktirafan berprestij ini diberikan menerusi konsert ulang tahun ke-20 Hujan yang dianjurkan oleh Icon Entertainment (M) Sdn Bhd.
Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja menjulang portfolio 20 tahun Hujan dalam industri, tetapi turut membuktikan mereka antara kumpulan indie yang paling berpengaruh di negara ini.
Bukan itu sahaja, kejayaan berkenaan turut membuktikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi daripada peminat setia yang hadir demi meraikan dua dekad perjalanan muzik ikonik mereka.
Majlis penyampaian sijil pengiktirafan itu disempurnakan wakil MBOR iaitu Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah, Edwin Yeoh dan Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi bersama Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.
Dalam pada itu, Iman menghargai pihak MBOR atas pengiktirafan berprestij terbabit dan berterima kasih kepada Raingers yang hadir untuk menjadi sebahagian daripada saksi detik bersejarah berkenaan.
Menurut Iman, tanpa sokongan luar biasa yang ditunjukkan oleh setiap peminat, mustahil konsert terbabit mampu mencatatkan kejayaan besar sekali gus melakar rekod terbaharu buat Hujan.
“Terima kasih kepada semua Raingers yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Hujan.
“Jika perasan, banyak simbol ‘XX’ yang ditampilkan sepanjang konsert ini yang menjadi simbolik kepada perjalanan kami menuju tiga dekad dalam industri muzik,” katanya.
Sementara itu, pengiktirafan ini juga dilihat sebagai satu pencapaian penting bukan sahaja buat Hujan, malah memberi impak besar kepada industri muzik tempatan secara keseluruhan.
Langkah kanan ini menjadi bukti kukuh bahawa status ‘indie’ bukan lagi halangan untuk mencetuskan fenomena, malah mampu menarik lautan manusia yang setanding dengan artis arus perdana.
Konsert Hujan XX: Hujan 20 Tahun ini adalah refleksi kembara seni yang sarat dengan untaian lagu ikonik, dedikasi tinggi serta keakraban luar biasa antara band itu dengan Raingers yang setia menyokong mereka sejak hari pertama berada dalam industri seni ini.
Malam penuh magis itu sekali gus mengukuhkan lagi takhta Hujan sebagai ‘gergasi’ dalam landskap muzik Malaysia, selain menjadi bukti bahawa aura dan pengaruh karya mereka tetap berbisa selepas dua dekad mewarnai industri seni tanah air.-HMetro Online-
IMedikel TV






