Home Hiburan SATHIA DISUNTING PROJEK ALA MICKEY MOUSE

SATHIA DISUNTING PROJEK ALA MICKEY MOUSE

62
0

KUALA LUMPUR: Biarpun pergerakan terbatas selepas kehilangan kaki kiri akibat komplikasi diabetes, pelakon dan pelawak veteran, Sathia Periasamy, 62, bersyukur masih diberi peluang mencari rezeki dalam bidang seni.

Memetik laporan Berita Harian, selepas menjalani pembedahan, September tahun lalu, rezeki Sathia tidak pernah putus apabila terus menerima tawaran kerja.

Terbaharu, Sathia bakal meminjamkan suara bagi watak Roti dalam filem animasi terbitan KRU Studios berjudul Zan Orang Utan.

Menurut Sathia, rakaman suara untuk filem arahan Datuk Norman Abdul Halim itu dijadual bermula, akhir bulan ini.

“Saya pun tidak sangka walaupun sudah tiada kaki, masih ada yang panggil saya bekerja. Untuk watak Roti ini, saya pernah bekerjasama dengan KRU Studios, jadi, bukan kali pertama bersama mereka. 

“Saya pernah terbabit dalam filem Cicakman 3. Lagipun bukan susah, saya hanya pinjamkan suara dan bekerja dalam keadaan duduk,” katanya. 

Sathia mengaku masih mempunyai minat mendalam terhadap dunia seni biarpun kudratnya kini terbatas.

“Daripada duduk di rumah, lebih baik saya keluar bekerja. Setakat ini, saya sudah terima masing-masing dua tawaran drama dan projek animasi.

“Satu lagi animasi adalah bersama Allahyarham Jalil Hamid, di mana kami pinjamkan suara untuk iklan berbentuk animasi yang ditayangkan, Aidilfitri lalu,” katanya kepada BH Online.

Sathia berkata, kerja alih suara bukanlah sesuatu yang asing kerana beliau pernah terbabit dalam beberapa projek animasi terbitan RTM.

Baginya, selagi ada tawaran, beliau tidak akan menolak kerana tidak suka dilabel sebagai individu yang meminta-minta.

“Saya sudah berada dalam bidang seni selama 43 tahun. Kebanyakan penerbit dan produksi kenal saya dan tahu disiplin kerja saya.

“Mungkin sebab itu mereka masih tawarkan kerja walaupun pergerakan saya terbatas. Biasanya, apabila mereka hubungi, saya akan beritahu saya tidak boleh berjalan dan perlu guna kerusi roda. Namun, mereka tetap mahu mengambil saya bekerja,” katanya.

Sathia percaya amalan memudahkan kerja semua orang yang diamalkan sejak dahulu menjadi punca dirinya masih ditawarkan ‘job’.

“Mungkin mereka tahu saya mudah beri kerjasama. Saya terima pun sebab mahu gembirakan semua orang.

“Lagipun kebanyakan tawaran yang saya terima adalah komedi, bukannya cerita sedih. Jadi saya seronok melakukannya,” katanya.

Sathia juga bersyukur kesihatannya semakin baik dan sedang menanti kaki palsu yang akan disumbangkan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave.

“Buat masa ini, di rumah, saya gunakan tongkat untuk bergerak. Jika keluar pula, saya perlukan kerusi roda.

“Untuk turun dari rumah, saya terpaksa meminta bantuan jiran yang mewakili persatuan penduduk. Biasanya tiga orang bantu angkat saya. Saya beri sedikit sagu hati walaupun mereka tidak minta.

“Saya masih menunggu kerusi roda sumbangan YKAT yang dijangka diserahkan, akhir bulan ini. Jika sudah dapat kaki palsu nanti, lebih mudahlah untuk saya bergerak dan bekerja,” katanya.

Sementara itu, Norman berkata, Zan Orang Utan adalah filem animasi ketiga terbitan KRU Studios selepas Ribbit yang ditayangkan pada 2013 dan Wheely pada 2018.

Tambahnya, idea menghasilkan Zan Orang Utan tercetus daripada keinginan untuk mencipta watak ikonik tempatan yang berpotensi dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

“Saya mahu hasilkan satu karakter yang boleh dibawa ke luar negara seperti Mickey Mouse yang dikenali di seluruh dunia. Orang utan adalah spesies yang unik dan sangat sinonim dengan Malaysia.

“Sebab itu kami pilih nama Zan Orang Utan kerana mudah diingati serta sesuai untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here