Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan melaksanakan Op Khas Pagar Laut 2026 bermula 27 Februari hingga 10 April ini bagi mengekang peningkatan risiko jenayah rentas sempadan sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
Operasi itu dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di perairan negara yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi bagi aktiviti jenayah rentas sempadan sepanjang tempoh perayaan.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata pengaktifan semula operasi tersebut adalah seperti yang dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh kawalan keselamatan negara.
“Setakat ini hasil siasatan kita, modus operandi yang mereka jalankan adalah berubah-ubah.
“Tetapi yang terkini mereka mengupah tekong tempatan atau menggunakan orang dalam seperti yang kita tangkap sebelum ini.
“Dari segi pengoperasian itu adalah teknik yang digunakan sejak dahulu dengan bergelap dan datang secara senyap,”katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Ops Pagar Laut dan Majlis Iftar di atas Kapal Maritim di sini, malam tadi.
Katanya sepanjang operasi pada tahun lalu, pihak Maritim Negeri Kelantan merekodkan sebanyak empat ked tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Kastam 1967.
“Untuk tahun lalu kita mencatatkan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM1.46 juta.
“Manakala untuk tahun ini yang terbaru berkaitan imigran atau Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, kita sudah tangkap 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk lima wanita melalui laluan sungai di Kota Bharu, dalam satu operasi baru-baru ini,”katanya.
Jelasnya rekod pelaksanaan Op Khas Pagar Laut sebelum ini membuktikan keberkesanan pendekatan bersepadu melalui kerjasama erat antara agendi keselamatan dalam mengekang pencerobohan, penyeludupan serta kemasukan PATI.
Sehubungan itu, APMM Kelantan akan terus memperkukuh pemantauan di perairan negeri termasuk kawasan sempadan bagi memastikan tiada unsur pencerobohan atau aktiviti yang menyalahi undang-undang berlaku sepanjang tempoh operasi dilaksanakan.

“Tahap kesiapsiagaan anggota dan aset turut akan dipertingkatkan melalui penugasan berterusan, rondaan berjadual serta operasi berasaskan maklumat risikan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil terhadap sebarang ancaman yang dikesan.
“Kejayaan Op Khas Pagar Laut 2026 ini amat bergantung kepada kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan, sokongan komuniti maritim serta pengorbanan pegawai dan anggota yang bertugas demi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
“Dalam masa yang sama, Maritim Negeri Kelantan turut menyeru masyarakat khususnya komuniti nelayan agar terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan di laut,”katanya.
IMedikel TV






