Home Sukan MEDVEDEV TAMATKAN REKOD TANPA KALAH ALCARAZ

MEDVEDEV TAMATKAN REKOD TANPA KALAH ALCARAZ

INDIAN WELLS: Daniil Medvedev menamatkan rekod tanpa kalah Carlos Alcaraz pada tahun ini selepas menewaskan pemain nombor satu dunia itu 6-3, 7-6 (7/3) pada separuh akhir kejohanan Indian Wells, awal pagi tadi.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, kemenangan itu memastikan Medvedev mara ke final untuk bertemu Jannik Sinner dalam perebutan kejuaraan.

Alcaraz, 22, sebelum ini memulakan musim 2026 dengan cemerlang apabila mencipta sejarah sebagai pemain lelaki termuda melengkapkan gelaran Grand Slam selepas menjuarai Terbuka Australia awal tahun ini.

Pemain Sepanyol itu kemudian menambah satu lagi gelaran di Qatar dan membawa rekod 16 kemenangan tanpa kalah ke perlawanan separuh akhir menentang Medvedev.

Namun, Medvedev yang menjuarai Kejuaraan Tenis Dubai bulan lalu tampil dengan aksi lebih meyakinkan untuk menamatkan rentak cemerlang Alcaraz.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mempamerkan permainan agresif dari baseline selain servis mantap sehingga memaksa Alcaraz sering berada dalam keadaan bertahan sepanjang perlawanan.

Dalam set kedua, Medvedev hampir menamatkan saingan lebih awal namun Alcaraz berjaya mempertahankan servisnya pada permainan kesembilan selepas satu rali panjang.

Bagaimanapun, Medvedev menyelamatkan dua mata set sebelum menguasai tie-break untuk memastikan tempat ke final buat kali ketiga di Indian Wells.

Pemain berusia 30 tahun itu sebelum ini tewas kepada Alcaraz pada perlawanan akhir edisi 2023 dan 2024. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here