Home Buletin Semasa KES KANSER DI KELANTAN MENINGKAT, PETANDA KESEDARAN AWAL SEMAKIN BAIK

KES KANSER DI KELANTAN MENINGKAT, PETANDA KESEDARAN AWAL SEMAKIN BAIK

229
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Bilangan pesakit kanser di Kelantan yang menerima rawatan meningkat daripada 5,888 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016 kepada 6,172 kes bagi tempoh 2017 hingga 2021.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, peningkatan itu menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengesanan awal semakin baik selain kesediaan mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan di negeri ini.

“Kes ini meningkat, namun ia juga mencerminkan sistem pengesanan kanser yang semakin berkesan serta kesedaran pesakit untuk tampil mendapatkan pemeriksaan apabila merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada tubuh badan.

“Kita mungkin tidak dapat mensifarkan kes kanser, tetapi yang penting pesakit mendapat rawatan sewajarnya supaya mereka boleh meneruskan kehidupan dengan lebih berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 Peringkat Negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mohd Azman berkata penubuhan klinik khas seperti Pink Ribbon Centre (PRC) di HRPZ II membantu mempercepatkan proses pengesanan dan rawatan pesakit.

Menurutnya, sebelum ini tempoh menunggu temu janji mengambil masa antara satu hingga dua bulan, namun dengan adanya PRC, tempoh itu akan dipendekkan kepada tiga minggu sebelum diteruskan dengan rawatan.

“Sepanjang tahun lalu, seramai 319 pesakit hadir ke klinik tersebut dan daripada jumlah itu, 124 disahkan menghidap kanser selepas menjalani pemeriksaan lanjut.

“Di klinik berkenaan, pesakit turut diberikan sokongan emosi dan psikososial oleh dua navigator, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk meneruskan rawatan,” katanya.

Hadir sama, Pengasas kepada Yayasan Kaseh Kanser Kronik (YKKK), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi dan Pengarah HRPZ II, Dr Izamin Idris.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here