Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan bersetuju memperluas barangan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merangkumi makanan sejuk beku sekaligus penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan 15 barangan asas.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, penambahan makanan sejuk beku menjadikan jumlah barangan yang boleh dibeli menggunakan kredit SARA kepada 140,000 jenis barangan.
“Ia adalah hasil daripada Kerajaan MADANI yang mengambil kira maklum balas rakyat dalam meningkatkan kemudahan dan fleksibiliti pembelian,” jelas kenyataan MoF hari ini.
Dalam pada itu, MoF turut memaklumkan SARA untuk Semua berjumlah RM100 mula disalurkan hari ini secara sekali beri (one-off) melibatkan peruntukan RM2.2 bilion.
“Lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia dewasa mendapat manfaat pengkreditan tersebut yang boleh digunakan hingga 31 Disember 2026.
“SARA Untuk Semua membolehkan isi rumah menerima bantuan berganda bergantung pada jumlah ahli dewasa yang layak.
“Sebagai contoh, satu keluarga merangkumi suami, isteri dan dua anak berumur 18 tahun ke atas akan menerima keseluruhan RM400, tidak termasuk bantuan SARA Bulanan sekiranya berkelayakan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Selaras dengan Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan menyasarkan 10,000 kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA menjelang hujung tahun, manakala jarak kedai runcit terdekat dikurangkan daripada 10 kilometer (km) kepada 7 km.
Orang ramai boleh menyemak status pengkreditan serta soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi https://sara.gov.my.
MoF turut mengingatkan penerima supaya berwaspada dengan pautan palsu dan cubaan penipuan, serta kementerian tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp, dan sebarang maklumat terkini hanya boleh dirujuk menerusi portal rasmi STR.
IMedikel TV






