Home Buletin Semasa KES JENAYAH PENIPUAN DI KELANTAN MENINGKAT SEPANJANG TAHUN 2025, RAKYAT RUGI RM50...

KES JENAYAH PENIPUAN DI KELANTAN MENINGKAT SEPANJANG TAHUN 2025, RAKYAT RUGI RM50 JUTA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kes jenayah penipuan atau scam di Kelantan mencatatkan peningkatan hampir 100 peratus sepanjang tahun lalu dengan jumlah kerugian mencecah kira-kira RM50.09 juta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, peningkatan mendadak itu membabitkan pelbagai bentuk penipuan termasuk penipuan pelaburan, phone scam, penipuan dalam talian serta penyamaran sebagai pegawai agensi kerajaan.

“Secara keseluruhan, jumlah kes jenayah komersial telah meningkat dengan ketara daripada 1,095 kes pada tahun 2024 kepada 2,010 kes pada 2025 iaitu peningkatan sebanyak 915 kes.

“Bagaimanapun, daripada sudut jumlah kerugian kewangan, nilai keseluruhan mencatatkan penurunan daripada RM55.04 juta pada tahun 2024 kepada RM50.09 juta pada tahun 2025 iaitu pengurangan sebanyak RM4.94 juta,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Jelasnya bagi penipuan telefon atau phone scam (Macau Scam) jumlah kes meningkat daripada 98 kes pada tahun 2024 kepada 139 kes pada tahun 2025, peningkatan 41 kes dengan nilai kerugioan meningkat daripada RM4.47 juta kepada RM7.63 juta iaitu pertambahan sebanyak RM3.16 juta.

Dalam pada itu kes e-dagang mencatat peningkatan yang sangat ketara daripada 213 kes kepada 453 kes, peningkatan 240 kes, dengan kerugian meningkat daripada RM1.85 juta kepada RM3.29 juta, iaitu tambahan RM1.44 juta.

“Bagi kes pinjaman tidak wujud, jumlah kes meningkat daripada 106 kes kepada 195 kes, peningkatan 89 kes, manakala kerugian meningkat daripada RM1.34 juta kepada RM1.59 juta, iaitu pertambahan RM246 ribu.

“Kes tipu pelaburan dalam talian pula meningkat daripada 173 kes kepada 205 kes, peningkatan 32 kes, dengan lonjakan kerugian daripada RM9.14 juta kepada RM12.47 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM3.32 juta, menjadikannya antara penyumbang utama kerugian kewangan tertinggi,”katanya.

Manakala peningkatan paling ketara dari segi bilangan kes membabitkan tipu kerja sambilan dalam talian, yang melonjak daripada 80 kes kepada 253 kes, peningkatan 173 kes, dengan kerugian meningkat daripada RM1.64 juta kepada RM7.90 juta, iaitu pertambahan sebanyak RM6.25 juta.

“Ini adalah satu trend yang amat membimbangkan kerana ia menyasarkan golongan rakyat biasa yang mencari pendapatan tambahan,”katanya.

Sebaliknya, bagi Love Scam/Parcel Scam, penurunan berjaya direkodkan daripada 30 kes kepada 24 kes, pengurangan enam kes, dengan kerugian menurun daripada RM1.35 juta kepada RM389,000, iaitu penurunan sebanyak RM957,000.

Kes lain-lain jenayah siber meningkat daripada 253 kes kepada 449 kes, peningkatan 196 kes, dengan kerugian melonjak daripada RM5.30 juta kepada RM11.29 juta, peningkatan sebanyak RM5.99 juta, sekali gus menunjukkan ancaman siber semakin kompleks dan mencabar. 

Bagi kategori lain-lain jenayah komersial, jumlah kes meningkat daripada 142 kes kepada 295 kes, peningkatan 153 kes, namun nilai kerugian mencatatkan penurunan drastik daripada RM31.28 juta kepada RM5.54 juta, iaitu pengurangan sebanyak RM25.74 juta. 

“Kesimpulannya, statistik ini membawa satu mesej yang jelas dan tegas jenayah komersial semakin meningkat dari segi bilangan kes, namun kesan kewangan berjaya dikekang melalui tindakan pantas, risikan berfokus dan kerjasama strategik antara semua pihak,”katanya.

Beliau berkata, bagi membendung kerugian yang lebih besar, mangsa penipuan digesa supaya segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NFRC) menerusi talian 997 sebaik menyedari mereka menjadi mangsa.

“Jika laporan dibuat dengan pantas, peluang untuk menyekat transaksi dan mendapatkan semula wang mangsa adalah sekitar 40 peratus,” katanya.

“Kelewatan membuat laporan menyebabkan wang hasil penipuan mudah dipindahkan ke akaun lain atau dikeluarkan, sekali gus menyukarkan proses pengesanan dan pemulihan dana,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here