Home Buletin Semasa KPDN SITA 3,545 KEPING EMAS TIDAK MENEPATI STANDARD KETULENAN BERNILAI LEBIH RM80,000

KPDN SITA 3,545 KEPING EMAS TIDAK MENEPATI STANDARD KETULENAN BERNILAI LEBIH RM80,000

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita sebanyak 3,545 keping logam emas pelbagai bentuk bernilai RM82,725 dalam Operasi Khas Ops Tulen yang dijalankan di sebuah premis di Kuchai Lama, di sini.

Menurut kenyataan KPDN, operasi yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] itu membabitkan enam pegawai penguat kuasa dan dijalankan ke atas sebuah premis perniagaan yang dipercayai menjual emas tidak menepati standard ketulenan.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan memasarkan produk logam berharga iaitu emas melalui saluran media sosial.

“Ujian menggunakan peralatan X-Ray Fluorescence (XRF) ke atas syiling emas yang dibeli oleh pegawai KPDN mendapati kandungan emas sebenar adalah jauh lebih rendah berbanding ketulenan yang dicop pada produk berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPDN, walaupun produk tersebut ditandakan dengan ketulenan AU 999.9, bacaan purata kandungan emas sebenar hanyalah sekitar 77 peratus, yang jelas tidak selaras dengan ketulenan yang diiklankan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan adalah pembekal kepada peruncit yang menjual produk emas sama melalui media sosial, dengan barangan yang dipamerkan di premis itu sepadan dengan iklan dalam talian.

“Ujian ke atas emas yang disita turut menunjukkan kandungan emas berbeza-beza bagi setiap kepingan seberat 0.01 gram, iaitu antara 80 peratus hingga 98 peratus,”jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1)(a) Akta Perihal Dagangan 2011 berkaitan pelanggaran standard ketulenan barangan logam berharga.

Selain emas, pegawai penguat kuasa turut menyita beberapa peralatan serta dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut.

KPDN menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama barangan di bawah Seksyen 5(1)(c) akta sama.

“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5(1) (c) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730]. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta 730 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda seperti berikut.

“Bagi individu, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi syarikat pula, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM1 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya,”menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPDN menegaskan kementerian akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras amalan perniagaan yang mengelirukan serta menipu pengguna, khususnya melibatkan penjualan barangan logam berharga.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat atau aduan kepada KPDN bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here