KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menegaskan dia hanya akan menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala Thomas di Horsens, Denmark pada April depan sekiranya tahap permainannya sudah kembali sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus.
Zii Jia turut menolak tanggapan kehadirannya sebagai pemain perseorangan ketiga akan menjadi kelebihan besar buat pasukan negara, sebaliknya mahu turun dengan keyakinan tinggi dan berada pada tahap terbaik sebelum menyarung jersi Malaysia.
“Untuk saya, saya sentiasa bersedia jika diperlukan, tetapi jangkaan saya mungkin sedikit berbeza. Saya perlu kembali sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus barulah saya benar-benar yakin untuk mewakili pasukan dalam Piala Thomas.
“Sejujurnya, jika diletakkan sebagai perseorangan ketiga, saya sendiri tidak melihatnya sebagai satu kelebihan. Itu jangkaan peribadi saya,” katanya.
Zii Jia menjelaskan, dia tidak menolak sebarang peranan namun enggan beraksi sekadar melengkapkan pasukan tanpa berada pada tahap permainan sebenar.
“Saya tidak mahu bermain dalam keadaan seperti sekarang dan turun sekadar bermain. Saya mahu sesuatu yang lebih baik dan berbeza,” katanya.
Ketika ini, Zii Jia berada di ranking ke-144 dunia, di belakang Leong Jun Hao (28) dan Justin Hoh (37), susulan kejatuhan ranking akibat berehat panjang kerana kecederaan buku lali dan belakang musim lalu.
Bagaimanapun, bekas juara Seluruh England itu masih memiliki perlindungan ranking di kedudukan kelapan dunia yang membolehkannya beraksi dalam kejohanan utama Jelajah Dunia.
Semalam, Zii Jia yang membuat kemunculan pertamanya selepas tempoh pemulihan panjang tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia apabila tewas 12-21, 17-21 kepada pemain India, Ayush Shetty pada aksi di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Mengulas prestasinya, Zii Jia mengakui tahap permainannya masih belum mencapai tahap sebenar dengan menilai aksinya sekitar 50 hingga 60 peratus.
“Saya rasa prestasi hari ini belum 100 peratus dan memang tidak begitu berpuas hati. Secara jujur, mungkin sekitar 50 hingga 60 peratus sahaja.
“Saya sudah cuba yang terbaik, termasuk menukar taktikal pada set kedua, tetapi dari segi fizikal masih belum cukup cergas,” katanya.
Menurutnya, empat kejohanan awal musim ini amat penting untuk membantunya mendapatkan semula momentum, termasuk Terbuka India minggu depan, diikuti Masters Indonesia dan Masters Thailand.
“Empat kejohanan ini amat penting untuk saya mencari semula rentak dan memperbaiki ranking dunia,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






