Home Buletin Semasa HASRAT MERISIK LENYAP DALAM TRAGEDI JATUH GAUNG

HASRAT MERISIK LENYAP DALAM TRAGEDI JATUH GAUNG

977
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR PUTEH: “Kami sekeluarga belum sempat mengenali bakal menantu,” luah Mek Som Ishak, 82, apabila anaknya, Allahyarham Hassan Shazali, 52, dan wanita yang bakal dikahwininya maut selepas kereta utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung akibat tanah runtuh, semalam.

Mek Som berkata, tragedi itu turut memadamkan hasrat keluarganya untuk merisik wanita pilihan arwah pada 20 Disember ini.

“Hari Khamis lepas, arwah balik dan kami berbincang tentang majlis merisik.

“Saya sendiri belum pernah melihat bakal isteri arwah kerana kami belum sempat berjumpa,” katanya ketika ditemui di Kampung Kedai Menanti, Selising, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebahagian persiapan perkahwinan sudah siap, termasuk barangan perkahwinan dan baju Melayu yang ditemui dalam SUV berkenaan.

Katanya, arwah anak keempat daripada lapan beradik, bertugas sebagai guru dan Penolong Kanan Satu di Sekolah Kebangsaan Lebir, Gua Musang.

“Setiap minggu arwah balik ke kampung, tapi tak sangka itu kali terakhir kami berjumpa.

“Arwah seorang yang peramah, rajin memasak dan selalu bawa balik hasil tanamannya, dia juga minat pelihara haiwan seperti burung,” katanya.

Menurut Mek Som, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kedai Menanti, malam ini.

Jelasnya, dia berharap pihak berwajib memasang tanda amaran jika berlaku tanah runtuh bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Sebelum ini, media melaporkan pasangan itu maut selepas SUV mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring (Bukit Kawah).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here