Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
GUA MUSANG- Seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan di Tanah Putih, di sini, semalam sebelum disahkan meninggal dunia akibat strok haba (heat stroke).
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 3.50 petang daripada seorang lelaki yang memaklumkan penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, mereka dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Forensik mendapati punca kematian kanak-kanak tersebut adalah akibat ‘heat stroke’,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Laporan Kematian Mengejut serta masih dalam siasatan.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian terbabit bagi mengelak kekeliruan kepada masyarakat.
“Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan sentiasa memastikan keselamatan anak-anak di bawah pemantauan serta tidak meninggalkan anak-anak tanpa pengawasan terutama di dalam kenderaan,” katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Gua Musang di talian 09-9121222 atau balai polis berhampiran.
IMedikel TV





