Home Buletin Semasa SERUNDING KELANTAN, WARISAN CITA RASA TERUS JADI BURUAN PELANCONG

SERUNDING KELANTAN, WARISAN CITA RASA TERUS JADI BURUAN PELANCONG

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TUMPAT: Tidak lengkap kunjungan ke Kelantan tanpa membawa pulang serunding sebagai buah tangan.

Makanan tradisional yang menjadi kebanggaan negeri Cik Siti Wan Kembang itu kini terus mengekalkan popularitinya sebagai lambang warisan cita rasa Melayu yang tiada tandingan.

Bagi pengusaha serunding di Laman Warisan, Kampung Laut, Wan Rosnani Wan Salleh, 42, serunding tempatan semakin mendapat sambutan hangat apabila menjadi pilihan utama pelancong untuk dijadikan ole-ole setiap kali berkunjung ke negeri ini.

“Kalau dulu serunding ini sinonim dengan juadah bulan Ramadan, kini ia dinikmati sepanjang masa dan sesuai dimakan dengan pelbagai hidangan seperti nasi, roti atau mi segera.

“Ramai pelancong beli untuk diberikan kepada jiran dan rakan sebagai buah tangan,” katanya ketika ditemui di premisnya di sini, hari ini.

Menurut Wan Rosnani, keunikan serunding Kelantan terletak pada rasanya yang manis, lemak, sedikit pedas serta tahan lama dan menjadikannya digemari bukan sahaja oleh penduduk tempatan, malah juga pelancong luar.

“Pengunjung yang datang ke Laman Warisan bukan sahaja berpeluang melihat sendiri proses tradisional pembuatan serunding, tetapi juga boleh menikmati serunding yang baru dibuat dihidangkan bersama pulut kuning panas.

“Kami hasilkan beberapa jenis serunding seperti daging tempatan, daging import, ayam dan ikan dengan harga bermula RM10 hingga RM70 mengikut saiz dan jenis.

“Pelancong biasanya memilih serunding daging tempatan kerana rasanya lebih segar, manis dan ‘juicy’,” jelasnya.

Tambahnya, permintaan terhadap serunding meningkat terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan seperti Deepavali.

“Pembungkusan serunding kami juga mudah dibawa dan tahan lama kerana disegel rapi supaya kekal segar walaupun dibawa jauh,” katanya.

Kaatnya proses pembuatan serunding mengambil masa antara enam hingga lapan jam, membabitkan penggunaan bahan utama seperti daging, santan, rempah ratus dan bawang yang digaul menjadi pes sebelum disangai hingga kering.

Menurutnya selain serunding, dia turut menghasilkan dodol dan gelembung boyo, dua lagi produk tradisional yang semakin sukar ditemui tetapi tetap mendapat sambutan daripada pelancong.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here