Home Buletin Semasa KERAJAAN NEGERI FOKUS TAMBAH BILANGAN PELANCONG KE KELANTAN

KERAJAAN NEGERI FOKUS TAMBAH BILANGAN PELANCONG KE KELANTAN

Oleh: Afrizam Arif @Imedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan komited memperhebat usaha mempromosikan sektor pelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Kelantan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor.

Beliau berkata, antara inisiatif yang sedang dijalankan termasuklah pembukaan semula Pasar Pelancongan Pangkalan Datu yang diyakini mampu menjadi tarikan baharu kepada pelancong domestik dan luar negara.

“Usaha gigih pengusaha tempatan yang tidak mudah mengalah walaupun berdepan cabaran luar seperti pandemik COVID-19 sangat membanggakan.

“Kini kita lihat sektor pelancongan kembali pulih dan semakin ramai orang datang ke Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pembukaan Semula Pasar Pelancongan Pengkalan Datu, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menggalakkan penglibatan semua pemain industri termasuk persatuan hotel, homestay dan agensi pelancongan bagi memperkukuh promosi pelancongan di peringkat lebih luas.

Kamaruddin berkata, penekanan juga diberikan kepada pameran budaya tradisional negeri seperti pakaian, makanan dan seni persembahan, yang kini semakin mendapat sambutan termasuk dalam acara sukan serta majlis swasta.

“Tanpa paksaan, banyak penganjur kini menampilkan pakaian tradisional Kelantan dalam program mereka, yang membuktikan budaya warisan kita semakin diterima dan menjadi tarikan tersendiri,” katanya.

Beliau menegaskan, tidak semua pelancong datang ke Kelantan semata-mata untuk ke Thailand kerana ramai yang memilih untuk bermalam di negeri itu, sama ada di hotel atau homestay, sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain.

“Selain itu, fenomena perkahwinan antara rakyat Kelantan dengan pasangan dari negeri lain turut menyumbang kepada peningkatan aliran keluar masuk pelancong, khususnya ketika musim cuti sekolah,” katanya.

Katanya, kemudahan penginapan di negeri itu juga semakin berkembang dengan lebih 2,000 bilik hotel, resort dan homestay kini tersedia selain kemudahan baharu seperti kawasan khas motorhome atau caravan yang semakin mendapat perhatian pelancong domestik.

“Dengan sokongan semua pihak, saya yakin sektor pelancongan Kelantan akan terus berkembang dan menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negeri,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here