Home Sukan SEVILLE JUARA 100M ATASI LYLES

SEVILLE JUARA 100M ATASI LYLES

266
0

LAUSANNE, SWITZERLAND: Pelari pecut Jamaica, Oblique Seville menewaskan juara Olimpik Noah Lyles dalam acara 100 meter (m) di Liga Berlian awal pagi tadi, hanya tiga minggu menjelang Kejohanan Dunia di Tokyo.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro sekali lagi, Lyles gagal melakukan permulaan yang baik sekali gus memberi kelebihan awal kepada Seville, sesuatu yang tidak pernah dilepaskan jaguh Jamaica itu.

Seville mencatat masa mengagumkan 9.87 saat dalam hujan lebat di Stade Olympique de la Pontaise, manakala Lyles bangkit di penghujung larian untuk meraih tempat kedua dengan masa 10.02 saat.

“Berlari 9.87 dalam keadaan seperti ini menunjukkan saya boleh berlari lebih laju di mana-mana saja di dunia, itu masa sangat baik,” kata Seville yang memenangi gangsa dunia bersama pasukan 4x100m Jamaica di Budapest pada 2023.

Ia ulangan kepada kejayaan Seville ke atas Lyles di kejohanan Liga Berlian di London bulan lalu.

“Saya menewaskan juara Olimpik dua kali di London dan di sini. Ia memberikan saya keyakinan besar menjelang kejohanan dunia. Sudah lama tiada lelaki Jamaica menang 100m di kejohanan global, dan sudah tentu percaya saya boleh jadi orangnya.”

Lyles pula menyalahkan permulaan perlumbaan sebagai punca kekalahannya: “Saya mempunyai reaksi sangat teruk terhadap pistol permulaan. Itu sahaja yang silap.”

“Secara teknikal saya rasa bagus, pemanas badan saya pun baik, tetapi bila anda terlepas permulaan di peringkat ini, perlumbaan hampir pasti berakhir,” katanya.

“Dari segi fizikal saya rasa hebat, dan saya yakin setiap perlumbaan akan jadi lebih baik. Sasaran saya sekarang memperkemas aspek kecil, terutamanya fasa pecutan awal dan permulaan, menuju ke Tokyo dan kejohanan dunia.”

Pelari 800m Olimpik Kenya, Emmanuel Wanyonyi, turut alami kekalahan mengejut yang menyaksikan pelari Amerika, Josh Hoey, muncul juara.

Hoey, juara dunia tertutup semasa ini, mengekalkan rentaknya hingga ke garisan penamat untuk menang dengan masa 1:42.82.

Wanyonyi kelihatan sudah ketinggalan dengan 200m untuk ditamatkan, tetapi bangkit untuk tempat kedua dengan masa 1:43.29, mengatasi pelari Sepanyol Mohamed Attaoui dan wakil Britain Max Burgin, manakala juara dunia dari Kanada, Marco Arop di tempat kelima.

Namun, tiada kejutan dalam acara 800m wanita apabila juara Olimpik Britain, Keely Hodgkinson meneruskan kebangkitan cemerlangnya dengan mencatat rekod kejohanan 1:55.69.

Dia menewaskan pelari tuan rumah Switzerland, Audrey Werro, dalam larian dua pusingan tersebut.

Cordell Tinch pula meneruskan prestasi hebat musim ini dengan catatan menakjubkan 12.98 saat dalam acara 110m lari berpagar lelaki.

“Saya rasa hebat semasa pemanas badan, cuaca seperti ini memang kegemaran saya! Keputusan ini sangat memuaskan,” kata Tinch. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here