Home Buletin Semasa DUA ANAK DOKTOR DIDAKWA EDAR 35.8KG DADAH

DUA ANAK DOKTOR DIDAKWA EDAR 35.8KG DADAH

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Dua anak lelaki doktor dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan berasingan mengedar 35.8 kilogram (kg) dadah jenis Kanabis di sebuah rumah di Kampung But, Ketereh, pada 5 Ogos lalu.

Tertuduh, Ahmad Ammar Rusydi Mohd Hanafi, 23, dan abangnya Mohammed Hibatul-Alimi, 34, didakwa di hadapan Majistret Rais Imran Hamid dan Wan Mohd Izzat Wan Abdullah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan secara berasingan, Ahmad Ammar Rusydi didakwa mengedar 14.78kg dadah berbahaya jenis Kanabis manakala Mohammed Hibatul-Alimi didakwa mengedar 20.8kg dadah jenis sama di sebuah rumah di Kampung But, Ketereh, pada jam 4.30 pagi, 5 Ogos lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dipenjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli dan Nur Haziqah Hassan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hasan.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Oktober dan 27 Oktober depan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Ahmad Ammar Rusydi tidak mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki pistol jenis Glock berserta 16 peluru hidup.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki pistol jenis Glock AEKZ847 Mariner 9X19 berserta 16 peluru hidup dengan menyalahi undang-undang di lokasi dan tarikh sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan sehingga enam kali.

Pendakwaan dikendalikan Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam yang sama.

Mahkamah menetapkan 22 September depan bagi tarikh sebutan semula kes.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here