LONDON: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mengecam tindakan perkauman yang dilemparkan terhadap penyerang Bournemouth, Antoine Semenyo ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Liverpool di Anfield, awal pagi semalam.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, dalam insiden separuh masa pertama itu, perlawanan dihentikan seketika oleh pengadil Anthony Taylor selepas Semenyo menjadi sasaran seorang penyokong tuan rumah.
Taylor kemudian berbincang dengan kedua-dua pengurus serta kapten sebelum permainan bersambung.
Polis Merseyside mengesahkan seorang lelaki berusia 47 tahun dari Liverpool sudah diusir keluar stadium, sebelum ditahan semalam atas dakwaan kesalahan ketenteraman awam dengan niat perkauman.
Semenyo turut meluahkan penghargaan kepada rakan sepasukan, pihak Liverpool, pegawai perlawanan serta komuniti bola sepak keseluruhannya atas sokongan yang diterima.
“Bola sepak tidak seharusnya menjadi ruang untuk rasisme atau sebarang bentuk diskriminasi. Keberanian Antoine dan prestasinya di atas padang, meskipun berdepan cabaran itu, adalah contoh kekuatan serta maruah buat pemain di seluruh dunia,” kata Infantino dalam kenyataan rasmi.
Beliau turut menegaskan bahawa Players’ Voice Panel yang diwujudkan sebagai sebahagian daripada lima tonggak anti-rasisme FIFA akan menghubungi Semenyo serta memantau rapat situasi terbabit.
“Kami komited memastikan setiap pemain dihormati dan dilindungi, selain penganjur pertandingan serta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Semenyo turut mendedahkan dirinya menerima serangan berbaur perkauman di media sosial selepas perlawanan berakhir.
Ketua Eksekutif EPL, Richard Masters pula memberi amaran bahawa mana-mana individu terbabit dengan tindakan perkauman akan berdepan larangan ke stadium serta kemungkinan didakwa di mahkamah. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






