Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA KINABALU: Peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, memaklumkan video seorang wanita mendakwa bahawa pelajar berusia 13 tahun itu dimasukkan ke dalam mesin basuh, adalah satu spekulasi.
Dua peguam tersebut adalah Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan dakwaan itu hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam mereka.
“Anak guam kami, iaitu ibu Zara, tidak pernah memberi maklumat sedemikian kepada sesiapa. Kami memohon wanita berkenaan menyalurkan maklumat itu kepada polis bagi tujuan siasatan.
“Penyebaran gambar kronologi yang menggambarkan Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I pada jam 8.00 pagi pada 16 Julai lalu juga adalah satu spekulasi. Maklumat yang membentuk kronologi itu bukan datang daripada anak guam kami.
“Kedua, penyebaran gambar pelajar sekolah di platform media massa dan membuat kenyataan negatif terhadap mereka, adalah satu kesalahan jenayah bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, serta Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ketiga, penyebaran senarai nama pelajar-pelajar sekolah yang mengandungi maklumat peribadi mereka juga adalah satu kesalahan jenayah bawah Seksyen 130 Akta Perlindungan Peribadi 2010 serta Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya mereka berharap penularan perkara-perkara itu di semua platform media sosial dihentikan segera.
“Kepada mereka yang telah melakukan penyebaran di alas, kami memohon agar memadam video dan gambar tersebut. Spekulasi hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes Zara diminta untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada polis untuk tujuan siasatan,”katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan terbaru tular di media sosial mendakwa bahawa Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh sehingga mengalami kecederaan dalaman.
Dakwaan itu tular sejak beberapa hari lalu menerusi pelbagai akaun yang tidak dikenali di media sosial.
Bagaimanapun setakat ini, tiada sebarang pengesahan atau petunjuk daripada pihak berkuasa berhubung dakwaan tersebut.
IMedikel TV






