KOTA BHARU: Sebagai pesakit kanser, sudah tentu ada yang merisaukan mereka sepanjang bulan Ramadan ini.
Bagi pesakit kanser payudara, Nabilah Abdullah, 39, dari Kampung Pengkalan Kubor, Salor, di sini, berkata puasa kali ini dia terpaksa berpantang selepas pembedahan buang payudara 20 Februari lalu.
“Saya disahkan penyakit kanser payudara pada tahun 2023. Namun, ketika itu saya cuba ikhtiar rawatan tradisional.
“Selepas itu, baru saya beranikan diri untuk membuat rawatan di hospital. Saya mula buat kimoterapi pada bulan September tahun lalu,”katanya.
Katanya, dia sudah selesai menjalani kimoterapi dan pembedahan buang payudara.
“Puasa kali ini agak mencabar berbanding sebelum ini. Keadaan kesihatan saya kurang memuaskan tetapi saya tetap bersyukur kerana diberi nikmat untuk berpuasa.
“Badan terasa letih namun saya tetap gagahkan diri untuk berpuasa. Menu untuk berpuasa dan bersahur juga seperti ibu dalam pantang,”katanya.
Menurut Nabilah antara menu yang disediakan adalah ikan selar bakar, sayur air, air milo dan sekeping roti.
“Saya kena kuatkan diri untuk menghadapi ujian ini. Alhamdulillah suami, anak-anak dan keluarga sentiasa memberi sokongan moral kepada saya.
“Walaupun selera makan perlu diubah, namun saya bersyukur kerana masih diizinkan untuk berpuasa tahun ini,”katanya.
Katanya, dia akan sentiasa mengikut jadual temujanji di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II bagi mengetahui perkembangannya penyakitnya itu.
“Saya berharap, saya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik selepas pembedahan tempoh hari,”katanya.