Home Buletin Semasa JKDM RAMPAS LEBIH 3.2 JUTA ROKOK SELUDUP BERNILAI RM2.9 JUTA

JKDM RAMPAS LEBIH 3.2 JUTA ROKOK SELUDUP BERNILAI RM2.9 JUTA

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menyita lebih 3.2 juta batang rokok putih membabitkan nilai keseluruhan termasuk cukai RM2.9 juta dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Peringat, di sini, pada 19 Februari lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long dalam suatu kenyataan memaklumkan, serbuan tersebut dijalankan sekitar jam 11.30 malam oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu, JKDM Kelantan.

“Dalam serbuan itu, JKDM menjumpai 3.1 juta batang rokok putih (320 peti) di dalam rumah berkenaan dan 30,000 (3 peti) di dalam kenderaan jenis Toyota Vellfire.

“Jumlah keseluruhan sitaan rokok putih adalah 3,225,400 batang atau 323 peti. Kenderaan tersebut dianggarkan berjumlah RM150,000 turut dirampas menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM2.9 juta,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Wan Jamal berkata, modus operandi bagi penyeludupan rokok itu adalah dengan menjadikan rumah sebagai tempat sewaan untuk menyimpan rokok tersebut.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000.00 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,’katanya dalam kenyataan.

Sehubungan dengan itu beliau menasihatkan orang ramai untuk memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah kenderaan dan lain-lain.

“Saya turut menasihatkan orang ramai agar tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut kerana penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

JKDM menyeru orang awam supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-8855, atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here