Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Agrobank memperuntukkan sebanyak RM80,000 dalam memperluaskan aktiviti perikanan menerusi teknologi bioflok.
Ketua Pegawai Eksekutif AgroBank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata teknologi bioflok adalah inovasi bagi industri akuakultur melalui kaedah pengurangan pertukaran air dengan pemprosesan sisa domestik.

“Penternakan ikan bukan sahaja memastikan ketersediaan sumber makanan tinggi protein, tetapi juga menyumbang kepada keterjaminan makanan.
“Kita sangat menggalakkan masyarakat untuk berusaha berdikari dan berkecimpung dalam industri penternakan ikan supaya dapat meningkatkan pengeluaran ikan dan mengelakkan daripada aktiviti import yang terlalu tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Rumah Ternak Ikan An-Nisa’ di Melor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid melepaskan sebanyak 1,000 ikan Tilapia bagi merasmikan rumah ternak ikan tersebut.
Tengku Ahmad berkata, projek perintis itu adalah kerjasama dengan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan melibatkan empat masjid di jajahan Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Machang.
“Rumah ternak ikan di Masjid D’ Raja Tengku Aziza Tengku Hamzah itu adalah projek perintis pertama yang dilaksanakan dan mengambil masa selama empat bulan bagi mendapatkan ikan yang matang untuk dijual.
“Ikan yang dilepaskan hari ini berukuran tiga hingga empat inci dan berpotensi dapat dituai kira-kira 500 kilogram ikan Tilapia selepas empat bulan dari sekarang,” katanya.
Tambahnya, usaha itu bukan sahaja dapat menjana pendapatan masjid tetapi, dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya sekuriti makanan dan keperluan makanan tempatan.
Menurutnya projek bioflok bukan sahaja menggalakkan penglibatan aktif kariah masjid, malah ia turut mengimarahkan institusi masjid dengan kegiatan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Melalui pengurusan penternakan ikan tilapia, ahli kariah berpeluang untuk berkumpul dan bekerjasama, seterusnya mengeratkan ukhuwah dalam kalangan mereka,” katanya.
IMedikel TV






